DERAF TEKS UCAPAN
Y.B. DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI
DAN KEPENGGUNAAN
SEMPENA
MALAM ANUGERAH FRANCAIS 2010
PADA
1 OGOS 2010 (AHAD), JAM 8.00 MALAM
DI
HOTEL LEGEND, KUALA LUMPUR
Bismillahir Rahmanir Rahim
Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Dato’ Tan Lian Hoe
Timbalan Menteri KPDNKK
Yang Berhormat Dato’ Rohani Abdul Karim
Timbalan Menteri KPDNKK
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh
Pengerusi, Persatuan Francais Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Mohd Zain Mohd Dom
Ketua Setiausaha, KSU KPDNKK
Yang Berbahagia Dato’ Daud Tahir
Timbalan KSU, KPDNKK
Yang Berbahagia Datin Seri Elena Chiang Abdullah
Pengarah, Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK
Yang Berhormat Dato’ Idris Hashim
Pengerusi, PNS
Yang Berusaha Tuan Syed Kamarulzaman SZK Shahabuddin
Pengarah Urusan, PNS
Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera Dan Salam 1 Malaysia.
1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah kurnia dan rahmat-Nya, dapat kita bersama-sama malam ini pada Majlis Anugerah Francais 2010 (MAF 2010). Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Francais Malaysia (MFA) kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menghadiri Majlis Anugerah Francais kali Ke-13 ini.
2. Syukur Alhamdulillah, semenjak anugerah ini diperkenalkan pada tahun 1997, ianya telah berjaya dianjurkan setiap tahun. Pencapaian yang cemerlang ini bukan mudah bagi sebuah badan bukan kerajaan seperti MFA dan saya rasa usaha ini perlulah diteruskan pada tahun-tahun akan datang. Lebih istimewa lagi, penganjuran MAF tahun ini dianjurkan bersempena Minggu Francais 2010 bersama-sama program Pameran dan Persidangan Francais International Malaysia 2010.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
3. Francais merupakan satu konsep perniagaan yang terbukti berjaya dengan konsep duplikasi daripada produk dan tanda niaga yang sudah berjaya dan dikenali ramai. Ianya menyediakan satu platform yang strategik terutamanya kepada usahawan-usahawan yang kurang berpengalaman untuk mengembangkan perniagaan. Mengikut statistik terkini, sehingga Julai 2010, sebanyak 449 sistem francais , iaitu 305 atau 68% sistem francais tempatan dan 144 atau 32% sistem francais luar negara telah berdaftar dengan Pendaftar Francais, di Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK dan angka ini harus dipertingkatkan lagi terutamanya bilangan pendaftaran francais tempatan. Usaha ini sudah tentu memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.
4. Perkembangan industri francais di Malaysia semakin bertambah maju. Ditambah pula dengan pelbagai inisiatif dan sokongan daripada pihak kerajaan. Sepanjang tempoh RMKe-9, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan dibawah Program Pembangunan Francais Tempatan. Sasaran utama adalah untuk menambah bilangan francaisi yang berjaya di dalam perniagaan masing-masing. Hasilnya, sejumlah 6,083 francaisi telah dilahirkan berbanding hanya 3,541 francaisi sebelum RMKe-9.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
5. Dalam usaha untuk mevariasikan lagi produk dan perkhidmatan francais tempatan, pihak kerajaan telah bertindak lebih proaktif dengan mengenalpasti mana-mana perniagaan yang berpotensi dan berdaya saing untuk difrancaiskan melalui program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPFT). Pihak kerajaan juga telah mewujudkan skim pembiayaan untuk bakal-bakal francaisor dan francaisi dalam usaha untuk meningkatkan pertambahan francaisi selaras dengan pertambahan produk dan perkhidmatan francais tempatan.
6. Pihak KPDNKK melalui Bahagian Pembangunan Francais juga telah mengambil satu langkah penyelesaian dengan merealisasikan penubuhan Pusat Mediasi Francais sebagai usaha untuk menyelesaikan konflik yang berlaku di antara francaisor dan francaisi. Penubuhan Pusat Mediasi Francais ini dilihat sebagai satu usaha murni yang sewajarnya diberikan perhatian yang serius. Diharap dengan kelahiran pusat mediasi berkenaan, masalah dan konflik antara francaisor dan francaisi dapat diselesaikan dengan cara yang lebih professional.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
7. Program Franchise International Malaysia 2010 kali ke 17 telah melabuhkan tirainya. Program yang dilihat sangat signifikan dengan usaha kerajaan untuk membangunkan 50 produk dan perkhidmatan francais tempatan yang baru dan dalam masa yang sama menarik minat pelabur francais asing untuk bertapak di Malaysia. Selain daripada mampu untuk meningkatkan persaingan yang sihat dan mewujudkan kepelbagaian sistem francais, program ini juga mampu menggalakkan kreativiti dan inovasi dikalangan usahawan francais tempatan untuk mewujudkan produk dan perkhidmatan francais tempatan yang boleh bersaing di pasaran global.
8. Kemuncak program Minggu Francais 2010 pada tahun ini diakhir dengan majlis penganugerah kepada para penggiat francais tempatan yang telah menunjukkan pencapaian sepanjang tahun. Saya difahamkan, terdapat 4 kategori utama iaitu Anugerah Francaisor, Anugerah Francaisi, Anugerah Usahawan dan Penghargaan Khas. Setiap pencalonan yang diterima telah dinilai dan diadili oleh panel pemilih terdiri daripada KPDNKK, PNS, SSM, MyIPO,SME Bank, Bank Rakyat, MPC, SIRIM, SME Corp, dan Matrade. Adalah menjadi harapan agar para penerima anugerah pada malam ini agar terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memajukan perniagaan masing-masing ke satu tahap yang tertinggi, Kepada yang tidak berjaya, jangan putus asa. Jadikan ia sebagai satu cabaran dan pembakar semangat untuk lebih maju.
9. Pihak kerajaan akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada para penggiat francais di Malaysia. Pelbagai siri promosi di dalam ataupun di luar negara telah dan akan kita anjurkan. Justeru saya menyeru kepada para penggiat francais terutama francaisor, rebutlah peluang untuk bersama-sama dengan pihak kementerian di dalam setiap misi perdagangan ke luar negara yang akan dianjurkan. Difahamkan, selepas ini kita akan menganjurkan misi perdagangan ke negara jiran kita Singapura dan Vietnam.
10. Disamping itu, saya menyeru kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta lain yang berurusan secara langsung mahupun tidak langsung dengan francais seperti PNS, SME Bank, Bank Rakyat, PKEN, MATRADE dan institusi kewangan dapat memberikan sokongan yang lebih jitu kepada industri francais. Dengan komitmen semua pihak, saya yakin industri francais di Malaysia akan mencipta sejarah yang lebih cemerlang.
11. Akhir kata, saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua yang hadir dan turut sama menjayakan Malam Anugerah Francais 2010 ini. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada MFA di atas penganjuran acara yang berprestij ini dan tahniah kepada semua pemenang.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.