Latar Belakang
Bahagian Francais dan Vendor telah diwujudkan pada 8 Mei 1999 serentak dengan penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Awam. Bahagian ini mempunyai dua unit iaitu Unit Francais dan Unit Vendor. Unit Francais (Program Pembangunan Francais) merupakan unit yang dipindahkan dari Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri. Sementara Unit Vendor (Program Pembangunan Vendor) pula adalah dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Perpindahan kedua-dua program tersebut adalah selaras dengan tujuan penubuhan MECD untuk memenuhi keperluan dasar kerajaan dalam mempercepatkan pencapaian matlamat mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Pada 09 April 2009, Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD) telah dibubarkan dan fungsi Bahagian Pembangunan Francais telah dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang sekarang ini dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).